KUCHING, 15 Jun: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijadual mengetuai perarakan masyarakat Dayak ‘Niti Daun’ bersempena Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka dan Sambutan Hari Gawai 2023 pada Sabtu ini.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Gawai 2023, Datuk John Sikie Tayai berkata, acara itu akan bermula di hadapan Bangunan Tun Jugah, Jalan Tunku Abdul Rahman pada pukul 2.15 petang.
Kata beliau, Abang Johari akan mengetuai lebih 3,000 peserta berarak ke Tebingan Kuching, Jambatan Darul Hana.
“Sambutan kali ini sangat bermakna kerana sudah lima tahun tidak dianjurkan di ibu negeri Sarawak selepas kali terakhir pada 2018.
“Jumlah peserta pula mewakili 91 kontinjen yang mengambil bahagian,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Antara yang mengambil bahagian termasuklah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Dayak, Persatuan Kebudayaan Dayak, Ketua-Ketua Kaum dan Masyarakat Dayak.
“Selain itu, veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Bujang Berani Dayak turut mengesahkan penyertaan mereka,” katanya.
Kata beliau, acara juga bakal dimeriahkan dengan kehadiran Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
“Perarakan ini bakal menyaksikan pelbagai keunikan masyarakat Dayak sekali gus dapat menarik pelancong dalam dan luar negara.
“Semasa perarakan berlangsung, hadirin akan disajikan dengan persembahan kebudayaan oleh peserta perarakan,” katanya lagi.
Tambah beliau, Niti Daun 2023 juga dimeriahkan dengan penyertaan dua kontinjen Kadazan Dusun Sabah.
Perarakan ini kali pertama diadakan di Kuching pada 1993.
Acara ini turut diteruskan di beberapa bahagian dan daerah di Sarawak sehingga ke hari ini.
Sempena acara ini, TVS akan turut menyiarkan siaran langsung menerusi saluran 122 Astro, MYTV dan Facebook, YouTube dan TikTok. -TVS