KUCHING, 14 Jun: Skuad The Cats berazam untuk tampil lebih garang pada pusingan kedua Liga Super 2023 yang akan bersambung tidak lama lagi.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Iswandi Ali Hassan berkata, beberapa rombakan telah dilakukan termasuk menggugurkan tiga pemain import yang membarisi skuad itu pada awal musim ini.
Baca artikel berkaitan:
Kata beliau, kekosongan itu digantikan dengan awang import baharu termasuk yang ditandatangani semalam, Bruno Dybal dari Brazil.
“Kesemua pemain baharu dijangka akan memulakan sesi latihan bersama pasukan pada minggu hadapan.
“Untuk pemain baharu tempatan pula, ketika ini kelab sedang mengadakan rundingan termasuk akan menggunakan khidmat pemain pasukan lain secara pinjaman,” katanya ketika dihubungi TVS di sini, hari ini.
Semalam, Kuching City FC mengesahkan penyertaan Dybal ke skuad itu.
Ditanya tentang prestasi terumbang – ambing pasukan berkenaan, Iswandi berkata, skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu sedang mengenal pasti kelemahan pasukan terutama di bahagian serangan.
“Harapan kami di pusingan kedua, kita mahu menempatkan pasukan di kedudukan sembilan teratas,” kata Iswandi lagi.
Kuching City FC kini berada di kedudukan ke-12 carta liga dengan pungutan enam mata selepas 13 perlawanan. -TVS