KUCHING, 14 Jun: Seramai 141 bakal jemaah haji dari Sarawak bagi Musim Haji 1444 Hijrah/ 2023 akan berlepas ke Tanah Suci malam ini.
Kumpulan pertama itu akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada pukul 11.20 malam menggunakan penerbangan Malaysia Airlines MH8445 ke Kuala Lumpur dan kemudian meneruskan perjalanan ke Jeddah, Arab Saudi dengan menaiki penerbangan MH8166.
Jemaah dijangka tiba di Jeddah pada pukul 8.35 malam waktu tempatan Arab Saudi.
Pada tahun ini, Malaysia menerima kuota haji berjumlah 31,600 jemaah.
Daripada jumlah itu, seramai 936 merupakan jemaah dari Sarawak berbanding 397 pada tahun lepas.
Sebanyak 98 penerbangan sewa khas digunakan untuk membawa jemaah seluruh Malaysia membabitkan syarikat penerbangan Malaysia Airlines dan Saudia Airlines.
Menurut Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Salleh Syed Abdul Rahman, setakat ini penyediaan khemah di Arafah dan Mina untuk hari wukuf tersebut telah mencapai 60 peratus. -TVS