KUCHING, 14 Jun: Felow Kanan Majlis Profesor Negara, Datuk Dr Jeniri Amir meluahkan kesyukuran kerana dipanggil untuk mengerjakan ibadah haji pada tahun ini.
Jeniri berkata, beliau sudah menunggu selama puluhan tahun untuk mendapat kesempatan menunaikan Rukun Islam Kelima itu.
“Perasaan saya bercampur baur, rasa pilu, sedih dan terharu kerana sudah menunggu lama,” katanya kepada TVS ketika ditemui pada Majlis Meraikan Keberangkatan Jemaah Haji Negeri Sarawak bagi Musim 1444 Hijrah / 2023, di sini, hari ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar turut hadir meraikan para jemaah.
Jeniri merupakan salah seorang daripada 141 jemaah haji kumpulan pertama dari Sarawak yang berlepas ke Tanah Suci pada malam ini.
Sementara itu, Jeniri juga memberitahu beliau telah melakukan persiapan awal.
“Saya mengikuti kursus dan membaca hampir 20 naskah buku, bukan hanya untuk memahami rukun haji tetapi juga falsafah serta makna haji,” katanya lagi.
Sementara itu, bagi jemaah haji muda, Nursyahirah Mohd Fariq Ariffin, 23, dia terkejut sejurus dimaklumkan oleh Tabung Haji mengenai gilirannya untuk berangkat ke Tanah Suci pada tahun ini.
“Sebenarnya saya baharu tamat pengajian dan agak terkejut kerana usia saya masih muda untuk ke Mekah.
“Mungkin ada yang lebih layak namun kesempatan yang diberikan ini, Insya-Allah saya akan gunakannya sebaiknya,” katanya.
Nursyahirah berangkat bersama ahli keluarganya dan memberitahu dia telah didaftarkan pada 2008. -TVS