KUCHING, 14 Jun: Kerajaan Sarawak menyokong inisiatif yang dilaksanakan oleh institusi pengajian tinggi bagi melahirkan tenaga pengajar berkelayakan dalam bidang pendidikan awal kanak – kanak, kata Dato Sri Fatimah Abdullah.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWK) berkata, langkah berkenaan akan membantu kerajaan negeri menerima khidmat guru – guru yang berkelayakan.
Sehubungan itu, Fatimah memuji usaha Kolej Universiti I-Cats yang menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama rakan strategik termasuk SeDidik Sdn Bhd, Taska Cahaya Horizons, Tadika Cilik Cemerlang, Taska Intan Syuhada dan Taska Pondok Ilmu.
“MoU ini akan menjadi asas pertukaran pengetahuan dan peluang pembangunan profesional untuk pelajar pendidikan awal kanak-kanak mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh dalam situasi sebenar.
“Kanak-kanak prasekolah mesti dilatih oleh guru-guru yang berkelayakan dan mempunyai semangat mendidik anak-anak kecil,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas hadir menyaksikan majlis menandatangani MoU berkenaan di sini hari ini.
Turut hadir, Naib Canselor Kolej Universiti I-Cats, Profesor Dr Shahren Ahmad Zaidi dan Pengarah Eksekutif Sarawak Skills, Hallman Sabri.
Sementara itu, Shahren berkata, pihaknya amat mementingkan pengalaman praktikal dalam kalangan pelajar di kolej berkenaan.
“Melalui kerjasama ini, kita akan memastikan pelajar-pelajar program pendidikan awal kanak-kanak akan memperolehi latihan yang komprehensif di taska dan tadika yang cemerlang.
“Pelajar akan didedahkan dengan pengalaman penting bidang pendidikan awal kanak-kanak agar mereka menjadi guru yang mampu melahirkan anak-anak yang cemerlang,” katanya.
Untuk rekod, Diploma Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak di kolej itu akan ditawarkan bermula pada Ogos 2023 manakala untuk Ijazah Sarjana Muda pada Januari 2024 dan pengajian doktor falsafah (PhD) pada hujung tahun ini.
Sementara itu, geran sebanyak RM200,000 diberikan untuk menubuhkan pusat jagaan kanak-kanak di Sarawak Skills, Tabuan Jaya, Kuching.
Sarawak Skills juga telah melantik SeDidik Sdn Bhd sebagai pengendali pusat itu yang dijangka akan mula beroperasi pada awal tahun depan. -TVS