Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (empat, kiri), Datuk Roland Sagah (tiga, kiri) dan Datuk Dr. Annuar Rapaee (lima, kiri) ketika menyaksikan upacara Pertukaran Perjanjian Kerjasama antara Sarawak Microelectronics Design (SMD) Semiconductor Sarawak yang mewakili Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) bersama Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS), Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (Sarawak Skills), Melexis dari negara Belgium, X-Fab dari Jerman dan Cadence dari Amerika Syarikat, hari ini. Foto: TVS.

Sarawak bakal lahir 500 jurutera litar bersepadu menjelang 2027 – Abang Johari

PETRAJAYA, 14 Jun: Sarawak dijangka akan melahirkan seramai 500 jurutera litar bersepadu dalam kalangan rakyatnya menjelang tahun 2027.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg optimis sasaran itu akan mengisi kebolehpasaran dalam empat bidang kejuruteraan berkaitan litar bersepadu bagi merealisasikan impian kerajaan negeri untuk meneroka sumber tenaga baharu dan sumber tenaga hijau.

Menurut beliau empat bidang yang terlibat merangkumi reka bentuk litar bersepadu, pelan litar bersepadu, pencetakan wafer (wafer fabrication) dan pengujian wafer (wafer testing).

“Tahniah kepada pihak Semiconductor Sarawak dan Kementerian (MEITD) kerana akan melatih anak Sarawak khasnya dan juga anak Malaysia dalam teknologi yang tinggi.

“Mereka (graduan) yang dikeluarkan akan dapat menguasai dan mengurus teknologi baru dalam litar bersepadu dan semikonduktor dan kita juga berjaya mencipta peluang pekerjaan dan memperkembangkan bakat kemahiran tempatan,” kata beliau.

Abang Johari berkata demikian dalam ucapannya hari ini sebelum menyaksikan Pertukaran Perjanjian Kerjasama di antara Sarawak Microelectronics Design (SMD) Semiconductor Sarawak yang mewakili Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) bersama Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS), Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (Sarawak Skills), Melexis dari negara Belgium, X-Fab dari Jerman dan Synopsys dan Cadence dari Amerika Syarikat.

Turut menyaksikan adalah, Timbalan Menteri MEITD Datuk Roland Sagah, Timbalan Menteri 1 MEITD Datuk Dr. Annuar Rapaee dan Timbalan Menteri 2 MEITD Datuk Francis Harden.

SMD pula diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Shariman Jamil manakala CENTEXS diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Syeed Mohd Hussein Wan Abdul Rahman dan Sarawak Skills menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya Hallman Sabri.

Perjanjian kerjasama itu, menyaksikan Sarawak menerusi MEITD akan melancarkan program perintis ‘Train-the-Trainers’ dengan menawarkan empat kursus bagi melatih 44 graduan dari Sarawak dalam bidang Reka bentuk Litar Bersepadu, 44 graduan dalam bidang Water Fabrication, 10 graduan dalam bidang Wafer Testing dan lima calon pelajar peringkat Sarjana dan PhD dalam bidang berkaitan setiap tahun.

Dalam pada itu, Abang Johari menegaskan keperluan dalam melatih graduan berkemahiran dalam bidang litar bersepadu amat diperlukan bagi membina cip untuk membangunkan kenderaan menggunakan teknologi hijau seperti yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

“Cip adalah sebahagian daripada komponen penting dalam industri elektronik kenderaan dan semalam saya telah melihat sebuah kereta elektrik (EV) yang dihasilkan dari negara China yang memerlukan cip baharu untuk kereta tersebut bergerak.

“Kita (Sarawak) sekarang telah melangkah ke arah teknologi hidrogen bagi mengerakkan kereta dan saya percaya ia akan diperluaskan ke Maritim iaitu bot juga akan digerakkan menggunakan kuasa hidrogen dan ini memerlukan cip yang baharu dan bersesuaian,” jelas beliau.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan