TAPAH, 14 Jun: Cadangan permohonan untuk mewujudkan pusat tahanan atau lokap berpusat di Sarawak akan diusulkan ke Bukit Aman, kata Persuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mohd Azman Ahmad Sapri.
Menurut beliau hasrat penubuhan lokap berpusat di negeri ini merupakan antara inisiatif untuk menambah baik kemudahan institusi kepolisan di Sarawak.
Jelas Mohd Azman sebagai permulaan, kemudahan itu dicadangkan untuk diwujudkan di Kuching terlebih dahulu sebelum ia diperluas ke bahagian lain.
“Cadangan itu dalam tindakan dan kita cadangkan lokasinya di Kuching sebagai projek rintis untuk lokap berpusat tersebut,” katanya pada sidang media selepas menghadiri taklimat operasi mengesan dua tahanan yang melarikan diri dari Balai Polis Tapah di sini, hari ini.
Terdahulu, dalam kejadian pada Isnin dua tahanan warga Indonesia masing-masing berusia 21 dan 31 tahun melarikan diri ketika berada dalam tahanan lokap di balai berkenaan.
Kedua-dua suspek tersebut sebelum ini ditahan dan disiasat dibawah Sekyen 6(1)(c) Akta Imigresen pada 7 Jun lalu oleh sepasukan polis dari Balai Polis Kota Sentosa sebelum ditempatkan di lokap Balai Polis Tapah.-TVS