KUCHING, 14 Jun: Malaysia menyuarakan komitmen tidak berbelah bahagi untuk melindungi Hak Orang Kurang Upaya (CRPD) di pentas antarabangsa.
Ketegasan itu disuarakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri yang berucap pada Konvensyen CRPD yang dianjurkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Amerika Syarikat.
Nancy berkata, jaminan itu selari dengan usaha Malaysia yang mahu memastikan golongan berkenaan tidak berasa tersisih.
“Kami (Malaysia) juga sedang menjalankan kajian semula Akta Orang Kurang Upaya 2008 berdasarkan maklum balas, input dan cadangan diterima daripada badan bukan kerajaan (NGO),” ujarnya ketika berucap di konvonsyen berkenaan.
Nancy menambah Malaysia telah melaksanakan Dasar Kebangsaan bagi Orang Kurang Upaya (OKU) sejak 2007 malah telah mengambil tindakan afirmatif untuk mempercepatkan inisiatif inklusif untuk kumpulan berkenaan.
Kata beliau, bagi mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi golongan tersebut, kerajaan telah menyediakan latihan kesaksamaan kepada mereka seperti latihan perkhidmatan berkaitan kecacatan dan bimbingan kerja untuk meningkatkan kesedaran dan kesediaan sektor awam dan swasta.
“Selari dengan itu, wakil OKU telah dilantik ke Dewan Negara Malaysia sejak 2007,” ujarnya.
Selain itu juga kongsi beliau, pada 2022, seminar perintis telah diadakan untuk ibu bapa kanak-kanak kurang upaya untuk mendidik anak-anak mereka berkaitan kesihatan seksual dan reproduktif.
“Bagi kebolehcapaian digital untuk OKU pula, program multimedia juga telah ditawarkan di pusat Pemulihan Berasaskan Komuniti di seluruh Malaysia sejak 2011,” katanya.
Kesemua inisiatif yang dilaksanakan jelas Nancy telah membuktikan Malaysia komited dalam melindungi hak golongan berkenaan. -TVS