KUCHING, 14 Jun: Macau Scam menjadi penyumbang utama kes jenayah komersial di Sarawak pada tahun ini, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak itu berkata, beliau juga dimaklumkan bahawa kerugian yang dialami oleh mangsa mencecah RM13 juta dengan melibatkan 246 kes.
“Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan kes jenayah komersial di Sarawak pada 2022 ialah sebanyak 2,461 kes bersamaan 8.3 peratus daripada keseluruhan kes jenayah komersial di Malaysia membabitkan kerugian berjumlah RM63.7 juta serta 1,050 tangkapan.
“Mengikut unjuran kerugian, Macau Scam merekodkan jumlah tertinggi diikuti kes tipu menyamar kenalan dengan kerugian RM4.2 juta melibatkan 183 kes dan kes penipuan pekerjaan dalam talian dengan kerugian RM2.9 juta dengan 225 kes,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Kolaborasi dan Pencegahan Jenayah Kewangan anjuran bersama Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) dan Bank Negara Malaysia (BNM), di sini hari ini.
Dalam pada itu, Abang Johari menekankan kerajaan pimpinannya meletak keutamaan yang tinggi untuk menangani jenayah kewangan di negeri ini.
Justeru katanya, kerajaan negeri akan terus memberi fokus untuk bersama-sama terlibat secara aktif bagi melaksanakan usaha pencegahan yang lebih berkesan demi menjaga kepentingan rakyat Sarawak.
“Pada 2021, agensi-agensi pentadbiran dan penguat kuasa negeri juga telah bersama-sama merealisasikan Virtual Sarawak Financial Awareness Campaign atau ViSFA yang dirasmikan oleh saya sendiri.
“Program tersebut telah menarik seramai 7,340 penyertaan di mana agensi-agensi penguatkuasaan dikumpulkan di bawah satu bumbung untuk meningkatkan kesedaran awam berkenaan jenayah penipuan atau scam,” katanya. -TVS