KUALA LUMPUR, 14 Jun: Kerajaan akan meneruskan latihan bagi meningkatkan kemahiran dalam kalangan golongan B40 dalam usaha menoktahkan kemiskinan tegar dalam kalangan masyarakat.
Tiimbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata latihan ini akan disusuli dengan pemberian bantuan daripada kerajaan.
“Kita ada saluran dana lebih kurang RM900 juta untuk peniaga dan penjaja kecil di mana pembiayaan akan dilaksanakan melalui Bank Simpanan Nasional.
“Setelah mereka dilatih untuk jadi usahawan, mereka ada diberikan bantuan-bantuan tertentu seperti bantuan Amanah Ikhtiar Malaysia, begitu juga Tekun sebanyak RM300 juta bajet untuk tahun ini dan kumpulan ini perlu diberi latihan terlebih dahulu kemudian barulah mereka boleh berniaga,” katanya dalam sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Pasir Putih yang ingin mengetahui program-program baru yang dilaksanakan kerajaan bagi menoktahkan kemiskinan tegar dalam negara.
Menurut Ahmad Maslan, pelaksanaan latihan adalah bertujuan untuk memperkasa kemahiran sedia ada disamping bersifat kekal berbanding sekadar menyalurkan bantuan.
Tambahnya, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kepada kumpulan ini akan ditambah kepada RM1,300.
“Jika mereka yang berpendapatan RM2,500 dan ke bawah serta mempunyai lima orang anak, mereka akan diberi RM2,500 bantuan STR, tapi jika mereka termasuk kumpulan e-kasih mereka akan diberi tambahan RM1300 lagi bererti ditambah nilai keduanya,” katanya.
Ahmad Maslan berkata dana RM750 juta yang disalurkan kerajaan kepada Kementerian Ekonomi untuk tujuan ini antara lainnya ialah menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan tertentu terutamanya yang tersenarai dalam e-kasih.
Beliau memberitahu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan perbincangan bersama pegawai daerah seluruh Malaysia berkenaan usaha menoktahkan kemiskinan tegar di peringkat daerah. – TVS