KUCHING, 14 Jun: Irama moden dan tradisional dendangan kumpulan muzik etnik dari Sarawak, At Adau sekali lagi akan mewarnai Rainforest World Music Festival (RWMF) pada tahun ini.
Kumpulan anak jati Sarawak yang ditubuhkan pada tahun 2014 itu pernah memperdengarkan karya popular mereka, antaranya Menjong, Storm, Stronger, Dan Lost and Found pada RWMF 2022.
Keunikan kumpulan ini adalah kreativiti mereka menggabungkan irama alat muzik tradisional dari pelbagai etnik antaranya sape (orang ulu), perutong (bidayuh), dan tekebung (iban) dengan alat muzik moden.
‘At Adau’ merupakan frasa yang digabungkan daripada dua perkataan berlainan bahasa etnik di Borneo.
Difahamkan dalam bahasa bidayuh, ‘at’ bermaksud akar sementara ‘adau’ pula dalam bahasa kenyah membawa maksud sejenis pokok yang kayunya paling sesuai dijadikan sape.
At Adau merupakan kumpulan pemuzik etnik dari Sarawak yang memperjuangkan ‘world music’ atau muzik dunia dalam karya mereka agar genre ini sebaris dengan muzik komersial lain.
Antara artis tempatan yang turut mengisi pentas RWMF bermula 23 hingga 25 Jun ini ialah Zee Avi, Suk Binie, APU, Nadir, Steve Thornton Band, Sada Borneo, Tuku Kame, Nading Rhapsody, Geng Wak Long, Buloh Berkocak, Meruked dan Orang Orang Drum.
Manakala barisan pemuzik serta artis luar negara lain yang turut dijemput adalah ‘Rastak’ (Iran), ‘Fasylive’ (Maldives), ‘Chatusram’ (India), ‘Rizal Hadi & Folk’ (Indonesia), ‘Thai Fusions Sound Band’ (Thailand) dan banyak lagi dari Jepun, Hong Kong dan Singapura.
Dapatkan tiket RWMF tahun ini di aplikasi Klook, yang merupakan ejen tiket rasmi RWMF 2023.
Sementara maklumat lanjut mengenai barisan pemuzik dan informasi tiket boleh didapati di laman web rasmi RWMF di http://rwmf.net. – TVS