KUCHING, 13 Jun: Penubuhan satu badan khas untuk menjaga kebajikan anak seni berasal dari Sarawak wajar dipertimbangkan segera, kata Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak berkata, penubuhan badan berkenaan kelak akan membolehkan kerajaan menyalurkan dana atau geran yang diperlukan oleh golongan berkenaan.
Kata beliau, ini seterusnya akan membantu anak seni berkenaan sekiranya mereka sudah tidak aktif dalam industri atau berdepan masalah kesihatan.
“Badan tersebut boleh diformulasikan seperti yang terdapat di peringkat persekutuan yang bertindak sebagai agensi bertanggungjawab mendapatkan royalti hasil seni.
“Setiap kali lagu dimainkan atau dinyanyikan, ada royalti yang perlu dibayar (untuk penyanyi asal atau komposer) seperti lagu Berkikis Bulu Betis yang sering dimainkan pada pelbagai majlis (di Sarawak),” katanya.
Abdul Karim berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Majlis Dialog Seni anjuran Majlis Seni Sarawak (MSS) di sini hari ini.
Turut hadir timbalannya, Datuk Snowdan Lawan dan Ketua Pegawai Eksekutif MSS, Dayang Mariana Abang Bolhassan.
Dialog berkenaan antara lain membincangkan perlindungan hak cipta karya seni Sarawak menerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan hala tuju kesenian Sarawak sejajar dengan Pelan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030.
Ke arah penubuhannya, Abdul Karim berharap, ianya dapat disegerakan kerana cadangan sebelum ini seolah-olah tidak diendahkan.
Kata beliau, Sarawak mempunyai ramai artis popular seperti mendiang Micheal Jemat, Sarbanun Merican dan Senorita Linang yang telah berkecimpung dalam bidang seni sejak tahun 1960-an sehingga sekarang.
“Namun tidak dapat dipastikan sama ada mereka mendapat bayaran royalti apabila lagu dendangan mereka dimainkan,” katanya.
Berhubung isu kutipan royalti, Abdul Karim berkata, perkara itu dilakukan secara efektif di peringkat persekutuan namun turut berdepan bermasalah untuk membayar royalti kepada artis yang layak.
“Saya tidak dapat menyebut nama badan tersebut tetapi terdapat sebuah badan yang ditubuhkan di Malaysia yang menjaga dan mengutip royalti untuk artis-artis ini,” katanya. -TVS