SIBU, 13 Jun: Polis menahan seorang lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM400,000 di sebuah pangsapuri di Jalan Wong King Howe di sini, pada Isnin.
Ketua Polis Daearah Sibu, Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili berkata, suspek berusia 21 tahun itu ditahan dalam serbuan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu pada jam 2.15 pagi, semalam.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan pihak polis telah menjumpai 71 paket plastik warna putih bertulis ‘Juice Master’ berisi serbuk jus disyaki campuran dadah jenis ekstasi seberat 2,294 gram.
“Selain itu, sebanyak 1,511 biji pil pelbagai jenis disyaki dadah jenis ekstasi seberat 566.73 gram, 43 paket plastik lutsinar mengandungi serbuk kristal disyaki dadah jenis Ketamine seberat 273 gram dan 26 paket plastik warna putih berisi ketulan kekuningan dan serbuk putih disyaki dadah jenis ekstasi seberat 25.447 gram,” katanya pada sidang media di IPD Sibu, di sini, hari ini.
Menurutnya nilai semasa keseluruhan dadah tersebut dianggarkan berjumlah RM402,052 dan polis turut menyita sebuah kenderaan jenis Ford Ranger milik suspek yang bernilai RM146,000.
Zulkipli juga mendedahkan hasil saringan air kencing mendapati suspek juga positif dadah jenis Methamphetamine/Benzodiazepines (Meth/Benzo).
“Semakan rekod mendapati suspek mempunyai tiga kes lampau berkaitan dadah dan kes tersebut akan disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1) akta yang sama di mana suspek akan ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan,” ujarnya.
Menurut Zulkipli, Seksyen 39B ADB 1952 memperuntukkan hukuman mandatori gatung sampai mati jika disabitkan kesalahan manakala bagi kesalahan dibawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 denda tidak lebih RM5,000.00 dan penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali dan pengawasan selama dua tahun dibawah Seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya 1952. -TVS