Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan ketika berucap dalam Majlis Penutupan Sarawak Women of Tomorrow 2023 (SWOT 2023) Bootcamp di sini pada Isnin. Foto: TVS

Potensi wanita digilap dalam tunjang kerajaan – Awang Tengah

ByIzzah Kamilah Yunus

KUCHING, 13 Jun: Sarawak komited mengangkat kedudukan golongan wanita dalam tadbir urus kerajaan merangkumi aspek pembangunan sosial dan ekonomi.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, komitmen itu bergerak konsisten dengan mengiktiraf peranan golongan itu dalam tunjang kepimpinan pentadbiran.

Sarawak komited bela kedudukan, potensi wanita

“Saya berbesar hati untuk menyatakan bahawa Kerajaan Sarawak telah menyediakan peluang yang sama rata kepada golongan wanita untuk meningkatkan mutu Perkhidmatan Awam Sarawak dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Daripada 12 jawatan Setiausaha Tetap Kementerian, sebanyak 33 peratus dipegang oleh golongan wanita,” katanya pada Majlis Penutupan Sarawak Women of Tomorrow 2023 (SWOT 2023) Bootcamp di sini pada Isnin.

Menurut beliau transformasi serta adaptasi teknologi dan digital telah membuka lebih banyak ruang bagi kaum wanita untuk menyerlahkan bakat melalui penglibatan mereka dalam pelbagai sektor.

Ia antara inisiatif kerajaan tegas beliau sebagai usaha menggalakkan kaum wanita untuk lebih aktif dalam tenaga buruh.

“Kerajaan telah menubuhkan taska dan tadika, seperti SeDidik, bagi memastikan ibu yang bekerja di Sarawak dapat menghantar anak-anak mereka ke pendidikan prasekolah berkualiti tinggi agar mereka dapat melakukan kerja dengan mudah.

“Di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, kami (Sarawak) memanfaatkan teknologi digital untuk mendapat manfaat daripada kemahiran dan kelebihan yang dibawa oleh wanita ke tempat kerja, terutamanya dalam jawatan kepimpinan,” katanya lagi.

Dalam masa sama, memetik kajian daripada Kensing, Pengerusi Yayasan Kepimpinan Wanita (WLF), Datuk Dr Hafsah Hashim berkata penghapusan jurang jantina di Malaysia dapat menyumbang kepada 8.2 peratus peningkatan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang bersamaan 50 bilion Dolar Amerika.

Penghapusan jurang jantina, tingkatkan KDNK

“Ini bermakna dalam memajukan kesaksamaan wanita dan memperkasakan wanita untuk memegang jawatan kepimpinan kita. Kita perlu memberi kepentingan yang sama kepada wanita dalam pembangunan.

“Kini, dalam kajian ini juga menekankan hakikat bahawa kurang perwakilan wanita dalam jawatan kepimpinan bukan sekadar isu tempatan, malah ia sememangnya isu global,” katanya.

Dr Hafsah menambah SWOT 2023 merupakan platform untuk wanita membangunkan set kemahiran kepimpinan mereka, memupuk peluang dan memudahkan rangkaian bersama.

Mengulas lanjut, SWOT pada tahun ini berjaya melatih 52 peserta wanita melalui sokongan dari 17 buah syarikat melalui perkongsian dari tenaga pengajar yang berpengalaman. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan