BINTANGOR, 13 Jun: Seramai 500 peserta disasar menyertai larian sempena sambutan ke-60 Sarawak Merdeka dalam Malaysia di Bintangor pada 22 Julai depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, program berkenaan bertujuan untuk menyemai semangat kesukanan dan perpaduan dalam kalangan penduduk setempat.
Menurutnya program berkenaan dianjurkan oleh Pemuda Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Cawangan Bintangor dengan kerjasama Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Meradong.
“Sempena hari yang sangat penting bagi setiap rakyat di Sarawak iaitu 60 tahun Sarawak Merdeka di Malaysia, kami memutuskan untuk menganjurkan larian,” katanya pada sidang media di Bintangor di sini, hari ini.
Ding menambah setakat ini pihaknya menerima sambutan baik daripada warga Bintangor setakat ini.
“Kami berharap sekurang-kurangnya 500 peserta yang akan menyertai larian ini.
“Hadiah juga akan disediakan iaitu tempat pertama membawa pulang RM300, tempat kedua pula RM200 dan tempat ketiga akan mendapat RM100 serta tujuh peserta seterusnya akan memperoleh RM50,” ujarnya hadiah merangkumi kesemua kategori.
Beliau mendedahkan larian akan meliputi jarak 5 kilometer (km) dengan menetapkan yuran penyertaan RM30 untuk kategori terbuka dan RM10 bagi belia bawah 18 tahun.
Ding mendedahkan tarikh tutup penyertaan adalah pada 5 Julai ini. – TVS