KUCHING, 13 Jun: Laksa Sarawak diyakini berpotensi mendapat pengiktirafan antarabangsa berikutan sajian tradisi itu sering mendapat tempat dihati masyarakat global, kata Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak itu mengakui laksa Sarawak layak duduk sebaris dengan sajian terkenal negara lain seperti Pad Thai dan Pho.
“Sama seperti pad thai di Thailand dan pho di Vietnam, kami percaya laksa Sarawak mempunyai potensi untuk mendapat pengiktirafan antarabangsa yang sama,” katanya dalam teks ucapan yang dibaca oleh Timbalannya, Datuk Sebastian Ting pada majlis pelancaran program SAGO Incubator 2023, di sini, hari ini.
Menurutnya sajian yang diberi julukan ‘Breakfast of the Gods’ itu serta juadah tempatan lain memainkan peranan penting dalam mempromosikan industri pelancongan gastronomi negeri ini.
Beliau menambah industri makanan dan minuman (F&B) antara sektor yang menyumbang perbelanjaan pelancongan kedua tertinggi di Sarawak.
Justeru itu, katanya pengiktirafan Kuching sebagai Kota Kreatif UNESCO dalam bidang Gastronomi baru-baru ini membuktikan Sarawak memiliki kekayaan warisan sajiannya.
Pelancongan dan sajian kata Abdul Karim adalah saling berkait rapat serta berpotensi digabungkan untuk mempamerkan identiti dan budaya sesebuah destinasi atau daerah di negeri ini.
“Pelancong kini mencari pengalaman luar biasa. Selain melawat mercu tanda, mereka ingin mengenali sesuatu budaya melalui makanan.
“Justeru, kementerian berusaha untuk meletakkan Sarawak sebagai destinasi makanan dan pelancongan utama,” tegasnya.
Bercakap mengenai program SAGO Incubator, Abdul Karim berkata ia bukan sahaja bertujuan untuk memupuk bakat dalam bidang kulinari malah memupuk kelestarian dan amalan bertanggungjawab.
Sebanyak 11 usahawan F&B telah dipilih bagi program intensif selama 10 minggu itu termasuk Tacos Lengis, Cinde’s Snacks, Goodsos, Suci & Juicy, Ringkat Mama, Boy Manok, 360 Smile, The Rasa, Prez Lasagna, Roselle’s Kitchen, dan Aunty V Comfort Food.
Memasuki tahun kedua penganjurannya, para peserta akan didedahkan dengan pemain industri terkenal sepanjang tempoh program berkenaan. -TVS