KUCHING, 13 Jun: Kuching City FC mengumumkan membawa masuk penyerang baharu, Bruno Dybal ke dalam pasukan itu untuk menghadapi pusingan kedua Liga Super.
Dybal, 29, yang berasal dari Brazil memulakan kariernya dengan kelab Portugal, Palmeiras selama enam tahun sehingga 2011.
Penglibatannya dalam arena bola sepak di Asia pula bermula pada 2019 apabila menyertai kelab Thailand, Samut Sakhon City dengan merekodkan 33 penampilan serta tiga gol.
Penyerang yang berasal dari Sao Paulo ini juga pernah beraksi di Liga Indonesia bersama Persiraja Banda Acheh pada 2020 dan 2022.
Tahun lalu, dia berpindah ke Persikabo 1973 yang berpengkalan di Bogor, Indonesia.
Sepanjang kariernya, prestasi cemerlang dipamerkan pada 2021 bersama kelab Emiriah Arab Bersatu (UAE), Masfout dengan menjaringkan lima gol dalam 27 penampilan.
Menerusi hantaran di Instagram, Dybal berkata, dia gembira menyertai Liga Malaysia.
“Terima kasih Tuhan untuk peluang baharu ini. Gembira kerana tiba di Malaysia dan sertai Kuching City FC,” tulisnya.
Majlis menandatangani kontrak hari ini turut dihadiri oleh Pengerusi Kuching City FC, Fazzrudin Abdul Rahman.
Tamat 13 perlawanan, Kuching City FC dilihat bergelut pada musim pertama mereka di Liga Super apabila sekadar menduduki tempat ke-12 daripada 14 pasukan bertanding.
Skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu memungut enam mata hasil satu kemenangan, tiga seri dan sepuluh kekalahan. -TVS