KUALA LUMPUR, 13 Jun: Jangan politikkan soal hubungan Indonesia dan Malaysia, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, kepentingan hubungan dua hala ini malah harus dipertingkatkan dalam pelbagai bidang.
“Dalam enam bulan ini, saya beritahu Presiden Jokowi, dan dia sambut dengan sangat baik dan dia akui hubungan kita dapat ditingkatkan.
“Hubungan dari satu negara sahabat ini sangat penting untuk kepentingan strategik, ekonomi, budaya dan Islam dan saya tidak fikir kita patut remehkan hal ini,” katanya ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di sini hari ini.
Namun begitu, Anwar menegaskan kerajaan tidak akan sama sekali mengorbankan kepentingan kawasan dan sempadan Malaysia.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa yang ingin mengetahui tentang kepentingan jalinan hubungan akrab antara Malaysia-Indonesia dalam bidang ekonomi, perdagangan dan pelabuhan ini untuk manfaat rakyat Malaysia.
Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Anwar berkata perjanjian yang dimetrai amat komprehensif untuk kedua-dua negara.
“Adakah ia komprehensif? Ya, ia suatu penyelesaian komprehensif, namun yang belum dimeterai adalah sebahagian kecil melibatkan sempadan Sabah yang kita tidak dapat bersetuju.
“Setakat ini kita telah bawa pendirian kita, Indonesia sudah jelas dengan tuntutan kita dan kita pun tahu tuntutan Indonesia, tapi kita bersetuju.
“Jadi peringkat ini, itulah keadaan dia. Dan soal kompromi, tidak berbangkit,” jelasnya.
Muhyiddin ingin tahu adakah perjanjian yang dimeterai tersebut komprehensif dalam menjaga hak serta kedaulatan maritim negara.
Anwar juga memberi jaminan bahawa kepentingan dan kedaulatan negara tidak akan sesekali dikorbankan.
“Tidak mungkin kita korbankan satu inci pun tanah negara kita,” katanya.
Pada masa sama, Anwar memberitahu, dalam keadaan rundingan ini, adalah lebih baik sekiranya diselesaikan perkara yang sudah dipersetujui terlebih dahulu manakala perkara yang belum dipersetujui hendaklah ditangguhkan.
Menurutnya, kerajaan Malaysia menganggap Indonesia ialah negara sahabat dan tidak mahu perihal perbezaan antara dua negara ini menjejaskan hubungan keduanya. – TVS