KUCHING, 13 Jun: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg optimis Sidang Kemuncak dan Ekspo Minggu Tenaga Antarabangsa (IEW) 2023 bukti komitmen kerajaan Sarawak memperkukuh usaha untuk beralih kepada tenaga hijau.
Beliau berkata ramai pihak berkepentingan dari dalam mahupun luar negara telah mempamerkan minat kepada pembangunan tenaga hijau dengan menghadiri persidangan tersebut.
“Pada persidangan ini, pemain industri akan mengambil peluang untuk saling bertukar pendapat. Selain itu juga, (mereka) menggunakan platform ini untuk kita (Sarawak) meneroka teknologi baharu dalam usaha kita beralih kepada tenaga hijau.
“Kita juga dapat membuat penyelidikan dari sudut teknologi yang ada untuk kita mengukuhkan lagi usaha kita supaya Sarawak menjadi pemain utama dari sudut pengunaan tenaga hijau,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sidang Kemuncak dan Ekspo Minggu Tenaga Antarabangsa (IEW) 2023, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.
IEW 2023 yang telah memasuki edisi kelima penganjurannya merupakan Acara Tenaga Antarabangsa Terbesar Borneo.
“Acara ini terdiri daripada Sidang Kemuncak IEW, Pameran IEW bersama Sesi Padanan Perniagaan dan Simposium Teknologi yang bertemakan ‘Peralihan Ke Arah Masa Depan Karbon Sifar Bersih’,” ujar Abang Johari dalam ucaptamanya hari ini.
Terdahulu acara berkenaan telah menghimpunkan 29 penceramah pakar, 350 delegasi Sidang Kemuncak antarabangsa, 217 syarikat pameran dari 15 negara dan lebih 5,000 pembeli perdagangan. – TVS