KUCHING, 13 Jun: Dua loji hidrogen mega di Bintulu yang dijangka beroperasi 2027 bakal mengemudi industri berasaskan hidrogen baharu seperti pembuatan elektrolisis, sel bahan api dan industri Bahan Kimia Hijau di negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata dua projek yang dikenali sebagai projek H2ornbill Train dan projek H2biscus Train tersebut akan menjadi asas kepada Ekonomi Hidrogen Hijau Sarawak serta projek penanda aras berskala dunia.
@tvstvmy Dua loji hidrogen mega Bintulu beroperasi 2027, kemudi industri baharu – Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg Layari www.tvstv.my & tonton TVS di saluran 122 Astro & MYTV. #TVS122 #TVSNews #Sarawak #Hidrogen #TrendingNewsMalaysia #BeritadiTiktok
“Setakat ini, kedua-dua projek telah selesai (peringkat) kajian kebolehlaksanaannya dan dijangka akan diteruskan ke peringkat Front End-Engineering Design (FEED) dalam beberapa bulan lagi, tertakluk kepada proses memuktamadkan butiran dalam kajian kebolehlaksanaan sebelum memasuki peringkat FEED yang komprehensif.
“Mengikut perancangan projek, Keputusan Pelaburan Akhir (FID) untuk H2ornbill Train dijangka pada suku kedua 2025, manakala untuk H2biscus Train dijangka pada suku pertama 2024.
Kedua-dua fasiliti itu dijangka beroperasi pada 2027,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapatamanya ketika merasmikan Sidang Kemuncak dan Ekspo Minggu Tenaga Antarabangsa (IEW) 2023, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.
Pelaksanaan dua projek mega itu merupakan kolaborasi antara SEDC Energy dengan konsortium syarikat multinasional global yang terdiri daripada Sumitomo, ENEOS, Samsung Engineering, Lotte Chemicals, Posco dan Petronas (menerusi Gentari). – TVS