KUALA LUMPUR, 13 Jun: Sudah tiba masanya Malaysia mempromosi dan mengkomersialkan hidrogen sebagai salah satu produk eksport negara.
Sambil memberi contoh kejayaan Sarawak meneroka bidang itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagi merealisasikan tujuan itu sokongan semua pihak amat diperlukan agar industri baharu itu dapat diteroka sepenuhnya.
Mengakui ia agak mencabar, namun Anwar optimis, dengan kerjasama penyelidikan dan kajian para saintis dan pakar pelbagai entiti, tidak mustahil perkara itu dapat dicapai.
“Pengeluaran itu baru dan kapasiti kita jauh lebih besar seperti yang saya sebut dengan unjurannya RM12 bilion. Tetapi apa yang dilakukan dalam penyelidikan di Sarawak itu juga untuk kegunaan tempatan.
“Maknanya kita sudah sampai ke tahap yang agak mudah dan ketikanya untuk kita komersialkan produk itu,” katanya semasa sesi soalan Pertanyaan-pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Mohamed yang ingin tahu tahap pengeluaran hidrogen serta status kerjasama antara PETRONAS dan Sarawak Energy Berhad berkaitan tenaga boleh diperbaharui itu.
Beliau terdahulu memaklumkan, Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR) dibangunkan dengan lima teras strategik, sembilan strategi dan 29 pelan tindakan yang mampu memanfaatkan dan memberi kepentingan terhadap negara.
Ia merangkumi kepelbagaian sumber Tenaga Boleh Baharu (TBB) , menjadikan Malaysia sebagai Negara Rendah Karbon menjelang 2050 serta mempercepat peralihan kepada ekonomi kitaran termasuk memperkukuh keupayaan dan kemampuan penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi.
Jelasnya, ujuran penjanaan pendapatan sehingga RM12.1 bilion boleh dicapai melalui model Senario Dipacu Pelepasan (EDS) menjelang 2030.
“Di mana unjuran ini merangkumi penggunaan hidrogen secara terancang dalam sektor berkaitan khususnya dalam industri pemprosesan, tenaga dan pengangkutan,” katanya.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing yang meminta Perdana Menteti menyatakan pelan HETR yang diwujudkan oleh Mesyuarat Majlis Sains Negara (NSC) dijangkakan menjana RM12.1 bilion kepada pendapatan negara menjelang 2030. – TVS