Sejumlah 29 atau empat peratus daripada 672 batang sungai yang dipantau Jabatan Alam Sekitar (JAS) dikenal pasti tercemar tahun lepas. Foto: TVS.

29 sungai dikenal pasti tercemar tahun lepas

ByNisa Kasnoon

KUALA LUMPUR, 13 Jun: Sejumlah 29 atau empat peratus daripada 672 batang sungai yang dipantau Jabatan Alam Sekitar (JAS) dikenal pasti tercemar tahun lepas, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timabalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Datuk Seri Huang Tiong Sii memaklumkan, JAS mendapati Indeks Kualiti Air (IKA) bagi sungai-sungai berkenaan berada dalam kategori tercemar bagi tempoh berkenaan.

“Dalam menangani isu pencemaran sungai-sungai ini, yang berpunca daripada aktiviti pembuangan sisa kimia, ladang ternakan haiwan dan perlombongan, kementerian melalui JAS telah mengambil pelbagai langkah termasuk di peringkat penguatkuasaan, perancangan dan kajian.

“Antara langkah yang dilaksanakan adalah mempertingkatkan penguatkuasaan bagi punca-punca pencemaran tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127); memastikan projek-projek pembangunan berlandaskan EIA (penilaian impak alam sekitar); mengenal pasti lokasi aduan; dan operasi bersepadu dengan agensi-agensi penguatkuasaan,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Sheikh Mohmed Puzi Sheikh Ali mengenai senarai terkini sungai tercemar di Malaysia dan sejauh manakah kementerian tegas dalam menangani isu pencemaran sungai dalam negara.

Pada masa sama, beliau berkata, JAS akan menjalankan pengawasan kualiti air secara berterusan melalui Program Pengawasan Kualiti Alam Sekitar.

Sebanyak 30 stesen pengawasan automatik serta 1,353 stesen pengawasan manual bagi pemantauan kualiti air sungai di seluruh negara.

“Kementerian akan meningkatkan penggunaan data dan maklumat pengawasan kualiti air sungai untuk merancang dan menyusun strategi penguatkuasaan dalam memastikan isu ini dapat ditangani dengan berkesan dan keseimbangan sistem ekologi dapat dikekalkan.

“Selain itu, kementerian juga sedang menjalankan kajian bagi memperkenalkan pendekatan baharu untuk mengawal pencemaran sungai melalui kaedah Total Maximum Daily Load (TMDL),” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan