BINTULU, 11 Jun: Seorang wanita di sini kerugian sebanyak RM1.18 juta selepas menjadi mangsa penipuan melalui panggilan telefon.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd. Azman Ahmad Sapri berkata, mangsa berusia 55 tahun yang merupakan pekerja teknologi maklumat di sebuah syarikat swasta tampil membuat laporan polis pada 10 Jun.
Katanya, pada 22 Mei lalu, mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki yang menggunakan alamat di Putrajaya memaklumkan mangsa melakukan pendaftaran nombor telefon untuk memfitnah Kementerian Kesihatan (KKM) di Kota Kinabalu, Sabah.
“Panggilan itu kemudian disambung kepada individu yang mengaku dirinya pegawai polis bernama Sarjan Wong dan Inspektor Khoo.
Pesara swasta lesap RM1.2 juta diperdaya ‘Sarjan Wong’ dan ‘Insp. Khoo’
“Mangsa diperdaya kononnya terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram dan diarahkan untuk membuka akaun baharu bagi tujuan siasatan oleh Bank Negara Malaysia,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Mohd. Azman berkata, wanita itu yang panik telah menurut arahan suspek dan membuka tiga akaun berbeza pada 25 Mei dan 9 Jun lalu.
“Dia turut memindahkan wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM881,000 dan RM300,000 kepada tiga akaun berkenaan,” katanya.
Menurut beliau, wanita itu yang tidak menyedari sedang diperdaya turut memberikan kata laluan akaun banknya kepada ‘pegawai polis berkenaan’.
“Mangsa akhirnya diminta untuk melenyapkan kad tersebut dengan mematahkan dan membuangnya,” katanya.
Beliau memberitahu, mangsa menyedari telah ditipu setelah memaklumkan perkara ini kepada suaminya serta dimaklumkan oleh bank mengenai transaksi membabitkan akaun banknya.
“Mangsa membuat laporan polis untuk siasatan lanjut,” katanya. -TVS