KUCHING, 12 Jun: Sarawak bersedia untuk menaman rumput jenis Zeon Zoysia di stadium di negeri ini seperti yang dicadangkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS), kata Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan Sarawak berkata, pihaknya telah berbincang dengan KBS untuk melaksanakan perkara itu.
Kata beliau, Sarawak tidak akan berdepan masalah ‘kekurangan’ stadium yang boleh digunakan sekiranya kerja – kerja menukar rumput bermula.
“Sekiranya stadium pertama (di Sarawak terlibat) dengan proses penanaman rumput, (kita memiliki) stadium kedua yang masih dapat digunakan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (SUKMA) dan Mesyuarat Pelarasan Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri di Putrajaya di sini hari ini.
Mesyuarat dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Sebelum ini Kedah dan Perak bersetuju untuk menggunakan rumput Zeon Zoysia di stadium masing – masing seperti dicadangkan oleh KBS.
Pada Januari, KBS menawarkan peruntukan melalui dana geran padanan kepada semua negeri bagi menaik taraf padang bola sepak dengan penanaman rumput jenis berkenaan di satu padang yang dipilih dengan penyelenggaraan akan menjadi tanggungjawab kerajaan negeri masing-masing.
Sementara itu, Abdul Karim memberitahu, pihaknya belum memutuskan rumput berkenaan akan ditanam sama ada di Stadium Sarawak atau Stadium Negeri Sarawak.
Penanaman rumput berkenaan juga dilaksanakan di Stadium Nasional Bukit Jalil dan dijangka siap pada September atau Oktober tahun ini. -TVS