KOTA SAMARAHAN, 11 Jun: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah melatih seramai 1,908 usahawan desa di seluruh Sarawak menerusi Program Quick Win sejak 2017 hingga sekarang.
Timbalan Menterinya Datuk Rubiah Wang berkata, menerusi program terbabit, peserta akan diberikan bantuan modal pemulaan sebanyak RM10,000, latihan keusahawanan serta peralatan-peralatan yang diperlukan bagi memulakan perniagaan mereka.
Katanya, peserta juga boleh memilih lima sektor yang menjadi fokus usahawan iaitu jahitan, dandanan, seni tangan, perkomputeran dan juga masakan.
“Semua usahawan kita dipantau oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Alhamdulilah hampir 90 peratus daripada mereka berjaya melaksanakan perniagaan masing – masing,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir Majlis Wanita Inspirasiku (WIN) Peringkat Sarawak di SummerMall di sini hari ini.
Sementara itu, Rubiah memberitahu modul yang disediakan untuk membantu usahawan juga melibatkan program kesinambungan bagi meningkatkan daya usahawan luar bandar.
“Berdasarkan penilaian, program-program tersebut memberikan impak positif terhadap ekonomi masyarakat luar bandar walaupun tidak secara mendadak,” katanya.
Sehubungan itu katanya, KKDW turut mengarahkan kesemua agensinya supaya memantau program yang dilaksanakan dan seterusnya tampil dengan idea untuk menambah baik perkhidmatan pada masa hadapan. -TVS