SIBU, 12 Jun: Hasrat penduduk Kampung Berangan dan Paloh, Tanjung Manis untuk menikmati kemudahan jalan raya bakal menjadi kenyataan apabila kerajaan meluluskan cadangan pembinaannya melalui Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA).
Ahli Parlimen Tanjung Manis, Yusuf Abd Wahab berkata, jalan kira-kira 24 kilometer (km) yang menghubungkan empat buah penempatan termasuk Kedang dan Stalun itu bakal dibina dengan peruntukan lebih RM100 juta.
Bagaimanapun katanya, disebabkan peruntukan yang terhad, pada peringkat permulaan ia hanya melibatkan pembinaan jalan akses dan beberapa buah jambatan kecil selain sebuah jambatan besar dari Sungai Bapak menyeberangi Batang Belawai.
“Oleh kerana peruntukan yang terhad, yang hanya dapat dibuat mungkin jalan akses sahaja dahulu bukan jalan tar namun, melibatkan pembinaan jalan, beberapa jambatan kecil dan satu jambatan besar,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Ngiling Bidai, di Kampung Berangan Paloh, semalam.
Yusuf berkata, pembinaan laluan itu bakal menghadiri penantian penduduk yang sebelum ini hanya bergantung dengan sungai dan laut sebagai penghubung mereka.
Sehubungan itu katanya, peruntukan bagi tujuan pelaksanaan projek berkenaan sudah diluluskan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Kita cadangkan jalan penghubung dahulu. Jalan itu mungkin berbatu sahaja, boleh digunakan oleh kenderaan kecil dan jambatan sementara kerana kos sebenarnya mungkin mencecah RM400 juta. Sementara di Belawai nanti, kita memerlukan perkhidmatan feri.
“Jalan ini merupakan langkah pertama untuk menghubungkan kawasan ini dengan Tanjung Manis, kerana kawasan ini masih terpencil, tiada jalan raya untuk penduduk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain,” katanya.
Malah tambahnya, jalan berkenaan akan memudahkan penduduk memasarkan hasil pertanian sekali gus merancakkan ekonomi dan pembangunan setempat.
Program dihadiri Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol. – TVS