LONDON, 12 Jun: Malaysia sedang menuju ke dekad digital emas dan berada di landasan untuk menjadi harimau digital Asia, justeru negara memerlukan lebih banyak tenaga kerja dan kepakaran, terutamanya dalam bidang data dan teknologi, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.
Berucap kepada kira-kira 100 penuntut Malaysia di sini, beliau menekan bahawa pada masa depan dunia akan dikuasai digital dan sekurang-kurangnya satu perempat daripada ekonomi akan disumbang oleh ekonomi digital.
“Ekonomi digital merupakan sebahagian besar daripada masa depan kita. Kita memperoleh banyak pelaburan besar hampir setiap bulan. Hanya beberapa hari lepas, sebuah syarikat dari Australia melabur sebanyak RM3 bilion bagi membangunkan sebuah pusat data di Petaling Jaya. Minggu sebelumnya sebuah syarikat Amerika Syarikat (AS) juga komited untuk melabur RM3 bilion.
“Apa juga bidang yang anda ceburi, akan pasti ada aspek digital. Lebih-lebih lagi, pada zaman ini, perkara yang kita anggap sebagai pekerjaan konvensional tidak lagi berlaku.
“Banyak pekerjaan tradisional semakin hilang. Masa depan sangat mengujakan tetapi juga sangat mencabar,” katanya.
Malaysia menyasar mencapai pelaburan digital bernilai RM130 bilion menjelang 2025, yang menyumbang 25.5 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara.
Sementara itu, semasa majlis tersebut, Fahmi juga menasihati para pelajar agar kembali semula ke tahah air selepas tamat pengajian dan berkhidmat untuk negara.
“Selepas tamat pengajian, ramai daripada anda akan memilih sama ada kekal tinggal di sini atau kembali semula ke tanah air. Jika anda tinggal di sini, gunakan sepenuhnya peluang yang ada. Belajar bersungguh-sungguh dan satu hari nanti bawa pulang bakat dan pengalaman ke Malaysia. Pulang dan bantu Malaysia,” katanya.
Pada masa ini terdapat kira-kira 12,500 penuntut Malaysia di United Kingdom (UK).
Fahmi ketika ini berada di London bagi mengetuai delegasi Malaysia ke acara London Tech Week, yang akan dirasmikan Perdana Menteri UK Rishi Sunak dan Datuk Bandar London Sadiq Khan pada Isnin.
Acara itu yang berlangsung di Queen Elizabeth II Centre di London, dijangka dihadiri kira-kira 30,000 pengunjung.
Fahmi juga dijadualkan menyaksikan beberapa permeteraian memorandum persefahaman (MoU) dan 10 pengumuman kerjasama antara syarikat Malaysia dan antarabangsa pada Selasa. -TVS