BUTTERWORTH, 12 Jun: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Kerajaan Perpaduan pimpinannya berpegang kepada prinsip al-Quran dan memartabatkan Islam.
Perdana Menteri berkata, perkara itu jelas apabila peruntukan kerajaan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ditambah.
Sehubungan itu tegas Anwar, dakwaan mengatakan kerajaan meninggalkan Islam merupakan satu fitnah jahat.
“Sebelum ini, kerja JAKIM adalah berdakwah, memberi latihan dan menganjurkan majlis tilawah dan hafazan Al-Quran, tetapi kurang berperanan dalam merangka Rancangan Malaysia Ke-12 dan Belanjawan Madani.
“Saya telah mengarahkan supaya peranan mufti, ulama atau tokoh di JAKIM supaya selari dengan perkembangan ini kerana input mereka dapat memberi manfaat dan mengangkat martabat, harkat dan darjat negara,” katanya malam tadi.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1444 H/2023M di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth di sini.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Mohd. Na’im Mokhtar dan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman.
Acara itu yang berakhir 16 Jun depan dijangka membabitkan penyertaan 108 peserta terdiri daripada qari, qariah dan peserta hafazan dari seluruh negara.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, beliau bersedia menerima teguran dan cadangan-cadangan baharu, namun tidak bersetuju jika ada pihak memperkudakan al-Quran bagi melemparkan hujah yang sekali gus merosakkan kemurnian kitab suci itu.
“Wujud sanggahan oleh individu tertentu terhadap inisiatif kerajaan termasuk Belanjawan Madani 2023 dengan membuat rujukan kepada ayat dalam al-Quran secara tidak tepat.
“Maka dalam negara kita, sepatutnya mukjizat al-Quran itu perlu dipertahankan bukan diperkudakan meskipun mempunyai perbezaan pandangan.
“Malah, kemurnian kitab suci itu telah dipertahankan para ulama selama lebih seribu tahun,” katanya. – TVS