KUCHING, 12 Jun: Kemakmuran ekonomi yang dinikmati Sarawak pada masa kini adalah hasil keharmonian dan perpaduan masyarakat pelbagai kaum dan agama.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata perpaduan yang erat antara rakyat berbilang kaum dan agama di negeri ini telah menarik perhatian dan menjadi contoh kepada masyarakat di negeri lain.
“Tahun ini, perayaan Hari Gawai Dayak amat istimewa kerana cogan kata ‘Segulai Sejalai’ telah menarik perhatian Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan konsep ini akan digunapakai dan dipromosikan di seluruh Malaysia.
“Ia bukan sahaja satu penghormatan kepada komuniti Dayak bahkan kepada Sarawak kerana pemerintahan di peringkat Persekutuan akan memartabatkan konsep tersebut,” katanya berucap pada Majlis Rumah Terbuka Gawai Jabatan Premier Sarawak di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan-timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Majlis Gawai Dayak 2023 Datu Buckland Bangik.
Jelasnya, Kerajaan Perpaduan mahukan sebuah negara yang harmoni demi pembangunan negara agar Malaysia menjadi lebih kompetitif di peringkat antarabangsa.
Dalam pada itu, Abang Johari juga berharap kerjasama antara perkhidmatan awam dan kerajaan negeri akan berterusan bagi menjayakan matlamat Sarawak untuk menjadi negeri maju menjelang 2030.
“Pada suku pertama 2023, Sarawak meraih pendapatan sebanyak RM5 bilion. Kita berharap pada penghujung tahun ini, kita dapat meraih ‘tuaian’ (pendapatan) yang melimpah-ruah,” katanya. – TVS