KUALA LUMPUR, 12 Jun: Sebanyak 18 jenis bantuan persekolahan pada 2023 yang terdiri daripada 13 jenis Bantuan Khusus dan lima jenis bantuan umum disediakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), kata Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying.
Beliau berkata bantuan tersebut adalah untuk membantu murid-murid dan pelajar-pelajar dari golongan B40 dan miskin tegar agar tidak terus tercicir persekolahan.
“KPM mendapati bahawa salah satu faktor keciciran adalah disebabkan kemiskinan.
“Sehingga Jun 2022, kadar keciciran murid di seluruh negara pada peringkat sekolah rendah adalah 0.07 peratus manakala pada peringkat sekolah menengah pula adalah 0.99 peratus,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Parit, Muhammad Ismi Mat Taib yang ingin mengetahui langkah-langkah diambil Kementerian bagi membantu para pelajar di peringkat sekolah rendah dan menengah yang tercicir pengajian disebabkan masalah kemiskinan pada Persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Ahli Parlimen Tanjong itu berkata bantuan- bantuan yang diberikan turut diagihkan kepada murid layak dari keluarga berpendapatan rendah atau miskin antaranya Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP), Rancangan Makanan Tambahan (RMT), Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) dan Bantuan Awal Persekolahan (BAP).
Selain itu, pelbagai bantuan seperti pinjaman buku teks serta khidmat guru bimbingan dan kaunseling dan guru pemulihan turut disediakan bagi menyokong minat murid untuk meneruskan persekolahan.
Pada masa sama, KPM turut memperluas sekolah komprehensif sembilan atau K9 dari 12 kepada 17 sekolah.
Ia bagi memastikan akses kepada pendidikan diberi keutamaan khususnya kepada murid-murid yang tinggal jauh dari sekolah.
“Matlamat utama sekolah K9 diwujudkan bagi menangani isu keciciran di kawasan pedalaman, terutamanya bagi murid yang menghadapi kesukaran untuk meneruskan pendidikan ke peringkat menengah atas faktor lokasi ke sekolah menengah yang jauh, bentuk muka bumi yang mencabar dan sosio ekonomi keluarga,” katanya.
KPM juga memperluaskan konsep K9 kepada sekolah komprehensif 11 (K11) sebagai inisiatif dalam memberikan akses pendidikan yang lebih menyeluruh dari peringkat rendah hingga menengah selama 11 tahun, iaitu daripada Tahun 1 hingga Tingkatan 5.
Beliau berkata, konsep K11 ini juga dijangka mampu mengurangkan kadar keciciran transisi murid dari Tingkatan 3 ke Tingkatan 4 atau transisi peringkat pengajian menengah rendah ke menengah atas.
“Sebagai permulaan, KPM telah memulakan program rintis K11 di SK RPS Betau, Kuala Lipis, Pahang yang sekarang dikenali sebagai SMK RPS Betau khas bagi murid Orang Asli di kawasan tersebut. Di samping itu, program rintis ini juga dilaksanakan di SMK Long Bedian, Baram, Sarawak,” tambahnya.
KPM yakin dengan bantuan yang diberikan dapat menangani keciciran murid dan memastikan mereka kekal dalam sistem pendidikan negara sehingga tamat persekolahan. – TVS