KUALA LUMPUR, 12 Jun: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dijangka akan mengadakan mesyuarat bersama kerajaan Sarawak pada petang ini bagi membincangkan urusan berkaitan syarikat pernerbangan Boutique Airlines di Kuching, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
“Saya difahamkan pada petang ini akan ada perbincangan lanjut antara MAVCOM dan Kerajaan Sarawak pada 4 petang ini di Kuching,“ ujar Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah.
Menjawab soalan Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien yang ingin tahu respon Kementerian Pengangkutan berhubung usaha dan cadangan Kerajaan Sarawak untuk menubuhkan syarikat penerbangan sendiri.
Pada masa sama katanya, syarikat penerbangan baharu perlu mendapatkan Lesen Perkhidmatan Udara (Air Service Licence – ASL) daripada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan Sijil Operator Udara (Air Operator’s Certificate – AOC) daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Malaysia (CAAM) bagi membolehkan perkhidmatan penerbangan berjadual penumpang dan kargo secara berjadual dijalankan.
“Kementerian Pengangkutan melalui Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) akan meneliti dan mempertimbangkan sewajarnya cadangan Kerajaan Sarawak untuk menubuhkan syarikat penerbangan sendiri, Boutique Airline setelah permohonan lengkap mengenainya dikemukakan kepada Kerajaan untuk pertimbangan,” katanya.
Jelasnya, dalam usaha mendapatkan ASL daripada MAVCOM, MAVCOM akan meneliti dan mempertimbangkan antara lain, status dan latar belakang pelan kewangan pemohon, kemunasabahan pelan perniagaan, kemampuan dan keabsahan pihak pengurusan, dan sama ada keseluruhan permohonan pengoperasian tersebut adalah realistik.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju secara prinsipnya dengan cadangan Kerajaan Sarawak untuk menubuhkan boutique airline dan memberitahu cadangan berkenaan akan dibincangkan dalam mesyuarat kabinet Kerajaan Persekutuan. – TVS