KUCHING, 11 Jun: Yayasan Sarawak menyediakan ‘talian hayat’ kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang gagal mendapat tempat di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA).
Timbalan Pengarahnya, Louis Simon Peter berkata, kumpulan pelajar berkenaan boleh memohon bantuan kewangan disediakan sekiranya ingin melanjutkan pengajian di Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS).
Katanya, pemohon yang diterima untuk mengikuti kursus di CENTEXS bakal menikmati diskaun sebanyak 50 peratus yang dibiayai oleh kerajaan negeri.
“Sekiranya lulus cemerlang, mereka hanya perlu membayar pinjaman sebanyak 25 peratus sahaja,” katanya ketika ditemubual dalam Dialog TVS semalam.
Berkenaan bantuan disediakan oleh Yayasan Sarawak, Louis Simon berkata, biasiswa dan pinjaman disediakan kepada anak Sarawak yang berjaya mendapat tempat di IPTA dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang dimiliki oleh kerajaan negeri.
“Jika melanjutkan pelajaran di Sarawak, mereka akan mendapat bantuan sebanyak RM1,000 manakala bagi pelajar yang melanjutkan pelajaran di IPTA di Sabah dan Semenanjung Malaysia, sebanyak RM1,500 akan diberikan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, Yayasan Sarawak juga menawarkan skim khas kepada pelajar Bumiputera golongan B40 yang terhad kepada 100 penerima setiap tahun.
“Bantuan yang ditawarkan bertujuan untuk menggalakkan pelajar supaya melanjutkan pelajaran di Sarawak,” tambahnya.
Mengenai statistik kemasukan pelajar ke IPTA, beliau berkata, seramai 10,000 hingga 11,000 pelajar Sarawak berjaya mendapat tempat di IPTA melalui UPU. – TVS