BINTANGOR, 11 Jun: Konsep Segulai Sejalai yang wujud sejak sekian lama di negeri ini, berjaya membentuk kestabilan dan keharmonian sekali gus menjadikan Sarawak sebagai model perpaduan terbaik di negara ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol berkata, hubungan antara kaum di negeri ini amat mesra dan akrab malah, tidak ada tempat untuk mereka yang sengaja menimbulkan isu sensitif seperti agama dan perkauman.
Pada masa yang sama katanya, setiap perayaan disambut bersama oleh setiap kaum dan agama dalam suasana penuh muhibbah.
“Sikap toleransi yang tinggi menjadikan Sarawak sebagai model dan contoh perpaduan sehingga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat dan mengiktiraf slogan ‘Segulai Sejalai’ sebagai slogan perpaduan nasional.
“Kita saling bertoleransi dan memahami, di Sarawak tidak perlu ada kebencian di antara satu sama lain. Saya harap kita kekal begitu kerana dalam bila keadaan aman, banyak kerja boleh dibuat (pelaksanaan pembangunan),” katanya pada Majlis Ngilling Bidai di Rumah James Berandah Kasen, Muara Bunut, di sini pada Sabtu.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menegaskan, suasana politik di Sarawak jauh berbeza dengan Semenanjung Malaysia.
Walaupun Kerajaan Persekutuan telah terbentuk melalui majoriti kecil gabungan campuran beberapa parti politik katanya, tetapi polimik terutama dalam kalangan parti politik yang berpusat di Semenanjung masih bergelora.
“Sementara mereka di Semenanjung sibuk ‘berebut, merampas dan menumbang’ antara satu sama lain, kita di Sarawak wakil-wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) pula sibuk ‘berebut dan bersaing’ sesama sendiri untuk menjadi wakil rakyat yang berprestasi tinggi.
“Malah, kita lebih ghairah memajukan masyarakat dan membangun kawasan yang masing-masing diwakili,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, menegaskan, amalan politik pembangunan terus menjadi teras politik GPS dikukuhkan lagi dengan semangat ‘Sarawak First atau Sarawak didahulukan’ yang diperkenalkan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Terdahulu, sambutan yang sama diraikan di Rumah Baja Galau, Nanga Bangkit Selidap dan Rumah Bisa Melintang di Sungai Sian.
Hadir sama, Ahli Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abd Wahab dan Pemangku Pegawai Daerah Meradong, Thomas Geoffrey Kendawang. – TVS