KUCHING, 11 Jun: Kerajaan Sarawak akan terus memperluas inisiatif memperkasa kepimpinan berkualiti dalam kalangan pemimpin wanita di sini, kata Dato Sri Fatimah Abdullah.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak berkata, antara usaha terbaharu kementeriannya adalah melalui kerjasama dengan Yayasan Kepimpinan Wanita (WLF) dengan menganjurkan Program Sarawak Women of Tomorrow (SWOT) 2023 Bootcamp.
Menurutnya, SWOT 2023 bertujuan untuk memupuk kesaksamaan jantina dan memberi ‘kuasa’ kepada golongan wanita menzahirkan potensi dimiliki mereka dalam pelbagai bidang yang diceburi.
“Dalam aspek pendidikan tinggi, kita mendapati peratusan wanita lebih ramai.
“Oleh itu, kita juga melihat bahawa menerusi pendidikan, golongan wanita telah pencapaian luar biasa, tidak terkecuali di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program SWOT 2023 Bootcamp, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Fatimah berkata, bakat yang dimiliki oleh wanita Sarawak termasuk dalam perkhidmatan awam turut diakui pelbagai pihak.
“Golongan wanita di Sarawak sentiasa berusaha untuk menjawat pelbagai jawatan yang lebih tinggi di pejabat awam negeri.
“Perkhidmatan boleh diambil dengan dapat memanfaatkan bakat sumber manusia dari semua sektor masyarakat berbilang etnik dan budaya,” katanya.
Sementara itu, Fatimah melahirkan keyakinan yang SWOT 2023 akan mampu memberi nilai tambah kepada golongan wanita.
Ini kerana kata beliau menerusi program yang dilaksanakan, peserta diberi pendedahan termasuk berkaitan perkara-perkara asas pembangunan diri untuk masa depan yang lebih inklusif dan makmur.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi I WLF, Dato Hazimah Zainuddin berkata, penganjuran SWOT tahun ini merupakan kesinambungan program tahun lepas yang berjaya mencapai matlamat.
Kata beliau, pada edisi lalu, pihaknya berjaya mengetengahkan ramai peserta yang telah mencatatkan kejayaan dalam bidang masing – masing.
“Kami berjaya mengenal pasti minat seorang peserta yang kini bekerja di sebuah kementerian sebagai Setiausaha Sulit.
“Peserta berkenaan berminat untuk bergelar ahli politik dan ingin mendekat dirinya dengan bidang tersebut.
“Selain itu, kita juga mempunyai seorang alumni yang dikenali sebagai Dr Ana yang kini mengembangkan perniagaannya,” katanya.
Menurut Hazimah, seorang peserta juga telah mencapai kejayaan memberangsangkan dalam sektor korporat yang diterajui dan kini menjadi Ketua Pegawai Eksekutif di sebuah syarikat gergasi di Malaysia.
SWOT 2023 telah mengumpulkan lebih 20 penceramah pelbagai latar belakang yang berkongsi tentang pandangan dan pengalaman unik dalam kepimpinan, keusahawanan, etika, tadbir urus dan teknologi.
Program ini turut mendapat tajaan daripada TVS, Sarawak Energy Berhad (SEB) dan syarikat telekomunikasi China, Huawei. -TVS