Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berucap pada Majlis Makan Malam Komuniti di sebuah hotel terkemuka di Bintulu malam tadi. Foto: Faitullah Morni (TVS).

Sarawak miliki masa depan cerah dalam ekonomi hijau – Abang Johari

ByMuqri Aziz

BINTULU, 11 Jun: Penglibatan Sarawak dalam industri pengeluaran bahan api penerbangan mampan (SAF) berasaskan alga telah memberikan peluang dan masa depan yang cerah serta seiring dengan teknologi baharu, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Premier Sarawak itu berkata, Sarawak kini telah beralih kepada sektor ekonomi baharu apabila tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada sumber asli.

“Jika dahulu, kita jumpa minyak (dan) gas, kini Sarawak boleh menghasilkan minyak daripada lumut (alga).

“Saya bayangkan masa depan kita bagi tempoh 60 tahun yang akan datang sungguh cerah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Komuniti di Bintulu, di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk John Sikie Tayai serta Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom dan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dan  Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki turut menyertai majlis berkenaan.

Abang Johari seterusnya menambah, Sarawak juga diyakini akan menikmati kemajuan ekonomi dalam tempoh yang disasarkan itu bersandarkan dengan kekuatan sumber tenaga kerjanya.

“Anak-anak kita mesti ada ilmu dan dilatih untuk menguasai teknologi yang terkini kerana kita mempunyai sumber di Sarawak,” katanya.

Sementara itu, Abang Johari memberitahu, Kerajaan Sarawak merancang untuk menjadikan Bintulu sebagai lokasi baharu penghasilan SAF berasaskan alga.

“Insya -Allah, pengeluaran alga SAF di Bintulu (oleh Kerajaan Sarawak boleh dilaksanakan) dengan syarat mesti mempunyai sumber cahaya matahari, karbon dan air,” katanya.

Sarawak baru – baru ini memulakan operasi Loji Jana Kuasa Alga dan Chotose Carnon Capture Central di Sijingkat yang menghasilkan SAF alga sekali gus membuktikan komitmen Kerajaan Sarawak ke arah polisi ekonomi hijau.

Abang Johari Tun Openg turut menguji SAF dihasilkan di Sarawak apabila terbang ke Langkawi untuk menghadiri Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA’23) menaiki pesawat yang menggunakan bahan bakar mesra alam itu.

Dalam pada itu, Abang Johari memberitahu, Sarawak juga diiktiraf negeri yang terkehadapan dalam Ekonomi Hijau oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“(Namun demikian), pembangunan berterusan Sarawak hanya dapat dicapai jika perpaduan dalam kalangan masyarakat terus dikekalkan,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan