SEBAUH, 11 Jun: Projek pembinaan Jambatan Sungai Kemena yang terbengkalai akan disambung semula dalam tempoh dua bulan lagi, kata Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.
Beliau yang juga Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak berkata, projek itu akan diambil alih oleh kontraktor penyelamat yang telah dilantik.
Katanya, projek kesejahteraan rakyat itu menjadi projek sakit berikutan kontraktor asal tidak dapat meneruskan kerja- kerja pembinaan.
“Jabatan Kerja Raya (JKR) juga telah menamatkan kontrak kontraktor asal dan akan diambil alih oleh rescue contractor ,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyambut ketibaan rombongan Konvoi Kembara 60 Tahun Sarawak Merdeka di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Setiusaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Sarawak, Dolhadi Mazuki yang juga ketua konvoi, Timbalan Residen Bahagian Bintulu, Abang Zainuddin Abang Turkey dan Pegawai Daerah Sebauh, William Manggoi.
Berhubung kelewatan yang berlaku, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena memberitahu, terdapat banyak projek lain juga tidak dapat disiapkan mengikut jadual disebabkan pandemik COVID-19.
” (Selain itu), kontraktor juga berdepan masalah pengambilan pekerja seperti untuk pembinaan Stadium Mini Sebauh, gereja dan masjid,” katanya.
Sementara itu, beliau turut memberi jaminan yang Kerajaan Sarawak akan sentiasa berusaha untuk menyelesaikan kesemua projek-projek itu walaupun akan menelan kos yang lebih tinggi selain perlu mencari kontraktor baharu. -TVS