KUCHING, 11 Jun: Kerajaan Sarawak mempelawa syarikat telekomunikasi China, Huawei melabur di pusat datanya, kata Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Beliau yang juga Timbalan Premier Sarawak berkata, hasrat berkenaan disampaikan ketika beliau melawat Dewan Pameran Transformasi Digital Huawei Enterprise di Shenzhen, China baru-baru ini.
Awang Tengah berkata, Sarawak berbesar hati sekiranya gergasi teknologi global berkenaan terlibat dengan pusat data di negeri ini.
“Huawei telah melaksanakan pelbagai penyelesaian inovatif serta inisiatif untuk ekonomi digital termasuk menerapkan teknologi pintar dalam pengurusan bandar, pembuatan, pertanian, perlombongan dan perkhidmatan,” katanya menerusi kenyataan media.
Sementara itu, Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak turut mengucapkan tahniah kepada Huawei yang mencapai usia 22 tahun operasinya di Malaysia.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih di atas kerjasama diberikan oleh Huawei kepada Kerajaan Sarawak,” katanya.
Dalam pada itu, Huawei meneruskan kerjasama strategik dengan Kerajaan Sarawak apabila menjadi Rakan Kongsi Platinum dengan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) untuk menjayakan Kongres Inovasi dan Teknologi Sedunia 2023.
Huawei menyalurkan tajaan sebanyak RM6.93 juta pada acara berkenaan yang akan berlangsung pada Oktober depan.
Lawatan Awang Tengah ke China turut disertai Timbalannya, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh dan Penasihat MINTRED, Datuk Mohd Naroden Majais. -TVS