BINTULU, 11 Jun: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyampaikan ‘buah tangan’ kepada penduduk Miri dan Bintulu dengan meluluskan projek menurap semula jalan sepanjang laluan berkenaan.
Berita baik itu disampaikan oleh Abang Johari selepas beliau meneliti jalan yang dilalui ketika menyertai Konvoi Hari Kemerdekaan 60 Tahun Sarawak semalam.
Kata Abang Johari, secara keseluruhan beliau mendapati ada laluan yang bagus namun terdapat juga yang perlu dinaik taraf.
“Sehubungan itu di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), saya mahu menaik taraf dan menurap semula jalan dari Miri ke Bintulu untuk memudahkan penduduk berulang alik.
“Pada masa sama, saya akan mencari jalan untuk mewujudkan modal baharu berkaitan had penggunaan lori di laluan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jamuan Makan Malam Bersama Komuniti di Bintulu semalam.
Abang Johari turut memaklumkan jalan tersebut akan dihubungkan dengan jalan pesisir yang sedang dibangunkan dari Samarahan ke Sibu dan seterusnya ke Bintulu.
Semalam, Abang Johari menunggang motosikal berkuasa tinggi, Honda Goldwing 1800cc itu mengetuai konvoi sejauh 168.3 kilometer (km) bermula di Stadium Tertutup, Miri hingga ke Naim Street Mall, Bintulu.
Abang Johari turut menyantuni penduduk di Pantai Bungai, Miri dan Kampung Nyalau, Bintulu bagi menyemarakkan semangat perpaduan dan patriotisme sempena Sambutan Perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka. – TVS