KUALA LUMPUR 10 Jun: Peranan wartawan bukan sekadar melaporkan berita sahih, tetapi juga menjadi pendorong idea dalam negara yang mengamalkan kebebasan demokrasi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, kebebasan demokrasi itu dapat dimaknai sekiranya ada wacana yang segar dihasilkan para wartawan yang diberikan kebebasan untuk berkarya dan menyuarakan kritikan membina kepada kepimpinan negara.
Menurutnya, adalah tidak wajar seseorang wartawan melapor tanpa nilai jika tidak mahu diheret dalam suatu wacana yang menimbulkan permasalahan.
https://staging.tvsarawak.my/2023/06/10/wartawan-tvs-menang-anugerah-kewartawanan-malaysia/
“Seperti mana yang kita belajar dalam apa jua isu. Sains apalagi ilmu-ilmu dalam Sains Sosial, Kemasyarkaatan, dan Tatakelola Kenegeraaan. Itu semua berasaskan nilai.
“Kelunturan nilai itu akan menyebabkan kita diheret untuk membawa menggunakan apa juga bidang kuasa kita untuk membawa kerosakan kepada masyarakat dan ini ditentukan dengan tahap ilmu dan pendidikan asas yang cukup,” katanya.
Selain itu, beliau menyentuh mengenai kurangnya minat membaca dalam kalangan generasi muda sebagai cabaran yang harus ditangani segera secara pintar.
Sehubungan itu, beliau memohon kerjasama dan peranan wartawan dalam memberi kesedaran kepada rakyat terutama golongan anak muda untuk menimba ilmu agar tidak menjadi mangsa kepada sikap melampau penyangak-penyangak politik yang bertindak menghasut pemikiran golongan ini.
Beliau berkata demikian pada Malam Wartawan Malaysia (MWM) 2023 sempena Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI – Petronas 2022, di sini, malam tadi.
MWM 2023 adalah acara tahunan yang dinantikan oleh pengamal media Malaysia bertujuan meraikan karya-karya kewartawanan terbaik sepanjang tahun 2022.
Tahun ini menyaksikan 44 organisasi media bersaing untuk memenangi hadiah-hadiah utama Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI – Petronas 2022 iaitu pemenang emas dengan nilai wang hadiah RM10,000, pemenang perak bernilai RM1,500.
Sama seperti tahun lepas, wartawan TVS turut tidak ketinggalan menghantar penyertaan dengan kemenangan perak berpihak kepada Febbright James dan Aziz Soleh menerusi laporan khas Perjuangan Cikgu Pedalaman untuk kategori berita video terbaik. – TVS