BETONG, 10 Jun: Seminar mengenai pembuatan pakaian tradisional Dayak, khususnya kaum Iban akan dianjurkan tahun ini, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Kata beliau, pengumuman tarikh seminar itu akan diberitahu kemudian di masa akan datang.
“Kami sudah melakukan rundingan untuk mengadakan seminar pakaian tradisional Dayak (Iban) serta kelengkapan aksesori yang digunakan bersama pakaian itu.
“Pakaian tradisional ini bukan sahaja diminati orang Sarawak sahaja, bahkan laku jika dijual di seluruh dunia,” katanya dalam acara perasmian perarakan Gawai Dayak Peringkat Bahagian Betong 2023 di sini, hari ini.
Tegasnya, pakaian tradisional Dayak bukan sahaja popular di kalangan rakyat Sarawak, namun turut terkenal di persada dunia.
“Pua Kumbu pada masa kini susah didapati dan permintaan untuk hasil tenunan itu juga tinggi. Inilah tujuan kita mengadakan seminar dengan membuka jalan kepada mereka untuk berniaga memandangkan permintaannya juga besar, kita hendak pastikan bahawa hasil pengeluaran kita dapat menanggung jumlah permintaan tersebut,” ujarnya.
Turut senada, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Gerald Rentap Jabu yang menyatakan hasil jualan pakaian dan aksesori tradisional dapat meningkatkan ekonomi penduduk tempatan.
“Dari segi ekonomi, ia amat baik kerana pakaian tradisional yang dipakai lengkap dengan aksesori dapat dijual mencecah kira-kira RM500.
“Dengan jumlah 2,000 orang yang menyertai perarakan ini dengan memakai pakaian tradisional masing-masing berserta aksesori, pendapatan yang dapat dihasilkan ialah RM1 juta kesemuanya. Saya harap kaum wanita tidak berhenti menghasilkan seni tenunan dan anyaman agar ia boleh dijual kepada semua yang berminat,” jelasnya.
Perarakan Gawai Dayak itu disertai oleh 36 kontinjen mempamerkan pakaian tradisional dari Sarawak, Sabah dan Kalimantan Indonesia yang terdiri daripada agensi kerajaan, ketua kampung, pelajar sekolah dan badan bukan kerajaan. – TVS