Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Beberapa buah kenderaan terperangkap selepas sebatang pokok tumbang di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini awal pagi tadi. Foto: JBPM

Seorang maut, 9 cedera dalam insiden pokok tumbang

GEORGE TOWN, 10 Jun: Seorang penunggang motosikal terkorban manakala sembilan yang lain termasuk seorang wanita hamil cedera dalam kejadian pokok tumbang di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.20 pagi itu, mangsa, Muhammad Wafiq Zikry Shah Mohd Farid Amirol Shah, 18, yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC135 meninggal dunia di tempat kejadian disyaki akibat kecederaan parah.

Dua buah kereta dan tiga buah motosikal dilaporkan mengalami kerosakan akibat dihempap sebatang pokok selain beberapa individu cedera dalam kejadian ketika angin kencang dan hujan tersebut.

Beberapa buah kenderaan terperangkap selepas sebatang pokok tumbang di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu awal pagi tadi. Foto: JBPM

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, A’azelan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.26 pagi sebelum 18 anggota bomba bergegas ke lokasi.

Ujarnya, bomba yang tiba di tempat kejadian mendapati seorang mangsa lelaki yang tersepit di bawah pokok tumbang dan disahkan meninggal dunia.

“Seorang lelaki terperangkap di dalam kereta jenis Mercedes-Benz selain lima lagi iaitu tiga wanita termasuk seorang yang hamil, lelaki dan kanak-kanak menaiki sebuah Perodua Myvi.

“Terdapat empat mangsa yang menaiki tiga buah motosikal dengan dua daripadanya patah kaki,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah A’azelan, anggota bomba melakukan kerja menyelamat menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Pulau Pinang bagi rawatan lanjut dan kes diserah kepada polis bagi tindakan.

“Operasi itu ditamatkan pada pada jam 5.58 pagi,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong mengesahkan kejadian itu. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan