KUCHING, 10 Jun: ‘Segulai Sejalai’ cogan kata perpaduan negara merupakan penghargaan terbesar bagi Sarawak, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat melihat bagaimana cogan kata tersebut dapat membantu dari segi perpaduan rakyat di seluruh Malaysia.
“Terutama sekali dari sudut kaum etnik Iban kalau tidak silap saya Datuk Patinggi Jabu yang telah melahirkan ‘Segulai Sejalai’ dan Perdana Menteri dapat melihat bagaimana cogan kata ini boleh membantu dari segi perpaduan rakyat dan kebetulan kita berada di Kerajaan perpaduan dan ini menjdi satu hala tuju untuk rakyat Malaysia, bukan hanya kita di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Tilawah Al – Quran Peringkat Daerah Kuching malam tadi.
Ahli Parlimen Santubong itu berkata, ia merupakan satu inisiatif yang baik dan dapat menjadi kebanggaan kepada Sarawak, malah bukan sahaja di Sarawak tetapi di seluruh negara.
“Bagi saya ini salah satu daripda inisiatif yang amat baik dan menjadi kebanggaan kita di Sarawak kerana ia merupakan salah satu kepada tema yang akan membawa kita bukan sahaja di Sarawak tetapi di seluruh negara.
“Segulai Sejalai melambangkan perpaduan, kesatuan dalam kalangan masyarakat. Jadi kita amat berbanggalah,” ujarya lagi. – TVS