KUCHING, 10 Jun: Pekebun kecil dan petani tempatan harus mengubah mentaliti bahawa usaha mereka dalam sektor pertanian tidak lagi bersifat sekadar untuk menyara kehidupan atau meneruskan tradisi semata-mata.
Sebaliknya, golongan ini harus memikirkan sesuatu yang lebih jauh besar daripada itu termasuk menjadikan ia sebagai perniagaan serta membantu dalam memperkukuhkan aspek keselamatan makanan negara.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, cabaran utama untuk menjadikan aktiviti agropertanian menjadi sebuah industri atau sesuatu yang mampan adalah menukarkan pemikiran golongan tersebut.
“Satu-satunya cara untuk kita mendekati orang ramai di luar sana dan salah satunya adalah menerusi Jabatan Penyiaran dan kini kita mempunyai media sosial.
“Dengan apa sekali pun jangan habiskan masa anda di facebook atau mana-mana platform media sosial yang lain dengan hanya bergosip sahaja.
“Jika anda mempunyai pengalaman atau seseorang berkongsi atau mendedahkan anda kepada sesuatu yang baharu yang boleh memberi manfaat kepada rakyat kita terutamanya golongan petani khususnya yang tinggal di kawasan luar bandar, silalah kongsikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Ngabang Gawai WAIfm di pekarangaan RTM di sini, semalam.
Menurut Rundi, agensi di bawah kementeriannya masih tidak mencukupi untuk memberikan pendedahan dan mendidik golongan petani untuk beralih kepada sesuatu yang lebih moden dan menguntungkan.
Katanya, usaha itu memerlukan kerjasama semua pihak termasuk Jabatan Penyiaran dalam mengetengahkan kejayaan-kejayaan petani atau pekebun kecil yang terlibat dalam tanaman berimpak tinggi.
“Oleh itu, sebab itu saya mengubah nama kementerian daripada Kementerian Permodenan pertanian kepada Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah supaya dapat mencetuskan seterusnya mengubah persepsi ke arah bagaimana untuk membangunkan komuniti petani kita,” katanya.-TVS