KUCHING, 10 Jun: Seorang pesara swasta di Miri diperdaya suspek yang mengaku sebagai ‘Sarjan Wong’ dan ‘Insp. Khoo’ untuk memindahkan wang berjumlah RM1.2 juta ke akaun bank baharu dibukanya.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato’ Mohd Azman Ahmad Sapri berkata lelaki berumur 66 tahun yang juga penghidap kanser usus menerima panggilan telefon seorang lelaki mengaku dari sebuah jabatan kerajaan pada 18 April.
Panggilan berkenaan kemudian disambungkan kepada suspek yang mengaku sebagai ‘Sarjan Wong’ dan ‘Insp. Khoo’ dari Kota Kinabalu.
“Suspek kemudian mengatakan mangsa terlibat dengan kes pengubahan wang haram dan tangkapan akan dibuat ke atas mangsa.
“Mangsa menafikan dakwaan tersebut dan memohon agar dirinya tetap berada di Miri semasa siasatan dijalankan kerana beliau menghidap kanser usus,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Suspek kemudiannya meminta mangsa memberikan maklumat perbankan dan butiran kewangan miliknya sebelum diarahkan oleh suspek membuka dua akaun bank baru bagi memudahkan siasatan dijalankan ke atas mangsa.
Mangsa membuka akaun bank baru di dua institusi kewangan pada 19 dan 20 April dan memberikan maklumat akaun baru serta kata pengenalan diri dan kata laluan perbankan dalam talian kepada suspek.
“Selepas itu, mangsa diarahkan suspek memindahkan wang keseluruhan berjumlah RM1.2 juta melalui empat transaksi dari akaun bank dan akaun KWSP miliknya ke dua akaun bank yang baharu dibuka,” ujarnya.
Mangsa hanya menyedari ditipu setelah memeriksa baki wang di dalam kedua-dua akaun bank baru miliknya pada 8 Jun dan mendapati RM1.2 juta dipindahkan dari akaunnya ke akaun tidak dikenali secara berperingkat antara 19 April sehingga 3 Mei.
Mangsa kemudian tampil membuat laporan untuk siasatan polis kerana ditipu oleh suspek.
Sehubungan itu, Azman menasihatkan orang ramai agar tidak melayani panggilan telefon yang tidak dikenali.
“Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak memberikan maklumat perbankan kepada individu atau mana-mana pihak yang tidak dikenali,” katanya. – TVS