MUKAH, 10 Jun: Pelbagai peralatan menangkap ikan termasuk enjin dan bot musnah dalam kebakaran membabitkan sebuah stor penyimpanan peralatan pertanian di Kampung Bruan Besar di sini, malam tadi.
Antara yang musnah termasuklah sebuah enjin bot 40 kuasa kuda (hp), perahu fiber beserta enjin 9.8hp, sebuah perahu sepanjang 3.6 meter, enjin 15 hp dan beberapa pukat nelayan.
Insiden kira-kira 1.10 pagi itu bagaimanapun tidak melibatkan kemalangan jiwa atau kecederaan.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daro menerima panggilan kecemasan pada jam 1.15 pagi sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.
Katanya, pasukan anggota mendapati kebakaran melibatkan stor penyimpanan peralatan pertanian dan nelayan struktur tidak kekal yang telah terbakar 100 peratus.
“Kejadian mengejutkan penduduk kampung sebelum bertindak membantu memadamkan kebakaran. Tindakan pantas mereka berjaya mengawal api daripada merebak lebih besar,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada masa yang sama sebuah jeti yang terletak berhampiran turut terbakar 60 peratus.
Pihak bomba menggunakan dua aliran salur bantu mula untuk menjalankan kerja-kerja pemadaman memandangkan kebakaran berjaya dikawal oleh penduduk kampung sebelum ketibaan pasukan keselamatan itu.
“Punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” jelasnya. – TVS