BETONG, 10 Jun: Kanak-kanak yang berbusana ‘Ngepan Indu Iban’ dan ‘Baju Burung’ menyerikan lagi perarakan Gawai Dayak Peringkat Bahagian Betong 2023.
Kelihatan cantik dan bergaya, mereka merupakan pelajar sekolah di sekitar Betong serta anak-anak kakitangan pelbagai agensi kerajaan dan juga penduduk setempat.
Masyarakat berbangsa lain seperti Melayu, Cina, Melanau, Orang Ulu serta India juga turun padang menyertai perarakan sepanjang 1.8 kilometer (km) tersebut.
Perarakan mengelilingi pasar Betong itu telah disertai 36 kontinjen melibatkan 1,800 peserta merangkumi sekumpulan pemain tarian naga.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta isteri, Datin Amar Doreen Mayang telah mengetuai perarakan yang bermula dari Kompleks Sukan Betong.
Turut mengiringi Timbalan Menteri Pembangunan Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (Pembangunan Blia dan Sukan) Dato Gerald Rentap Jabu merangkap ADUN Layar.
Terdahulu, semalam (9 Jun) Uggah turut menyempurnakan Rumah Terbuka Gawai Dayak 2023 di Rumah Panjang Matop, Betong.
Sambutan anjuran Persatuan Pelancongan Sarawak (STF) itu berlangsung selama tiga hari iaitu dari 9 hingga 11 Jun, esok.
Antara inti pati menarik sambutan kali ini, seramai 13 pempengaruh media antarabangsa iaitu dari Indonesia, Thailand, China dan Australia serta Malaysia berkampung di Betong untuk ‘ngabang’ ke rumah panjang berkenaan. – TVS