BETONG, 10 Jun: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas inginkan semua kerjasama dilakukan untuk menjadikan Betong antara destinasi pilihan pelancong pada masa akan datang.
Beliau turut menyatakan hasrat untuk menjadikan Betong sebagai kawasan pengeluar bagi hasil kraf tangan tempatan seperti tenunan Pua Kumbu.
Ini katanya, dengan adanya kedatangan para pelancong luar, akan dapat menjana pendapatan kepada penduduk tempatan di kawasan itu.
“Diharapkan penduduk sini dapat menghasilkan lebih banyak lagi tenunan Pua Kumbu, pakaian dan aksesori tradisional yang boleh dijadikan sebagai bisnes kita.
“Saya akan berbincang dengan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing untuk menjadikan Betong sebagai pengeluar hasil kraf tangan agar kita mempunyai tempat untuk dikunjungi pelancong di sini,” katanya dalam ucapan Majlis Rumah Terbuka Gawai Dayak Rh. Anyie Rajit, Matop, Paku, Spaoh di sini, semalam.
Tambah beliau, Bukit Sadok akan turut ditempatkan sebuah tugu kecil Kubu Rentap yang merupakan lokasi kubu pahlawan lagenda Iban, Rentap suatu ketika dahulu sebagai tempat tarikan pelancong.
“Kita akan hidupkan kembali tempat itu dengan meletakkan sebuah tugu kecil Kubu Rentap supaya dapat menjadi tarikan pelancong ke kawasan ini, dan saya berharap Betong akan menjadi destinasi pilihan di peta dunia dengan lebih banyak kedatangan pelancong pada masa hadapan,” ujarnya lagi. – TVS