Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah. Foto: TVS

Sarawak rasa dihargai ‘Segulai Sejalai’ jadi cogan perpaduan – Abdul Karim

KUCHING, 9 Jun: ‘Segulai Sejalai’ yang dijadikan cogan kata perpaduan negara merupakan penghargaan bagi Sarawak, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menurutnya, perpaduan erat dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama di Sarawak mungkin menjadi ilham bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memilih untuk menggunakan frasa tersebut.

“Kita tahu pada masa ini terdapat banyak isu agama, bangsa ekoran daripada politik, ekoran daripada mereka yang mempunyai pandangan ekstrem terhadap perkara yang tertentu. Jadi amat baik sekali apa yang dikatakan oleh Perdana Menteri (menjadikan ‘Segulai Sejalai’ sebagai cogan kata perpaduan),” katanya ditemui pada Majlis Raya-Ngiling Bidai Gawai Dayak SPANS 2023, di sini, malam tadi.

Pada Rabu, Anwar dilaporkan berkata ‘Segulai Sejalai’, frasa bahasa Iban di Sarawak akan digunakan sebagai cogan kata perpaduan untuk seluruh negara.

Katanya beliau tertarik dengan frasa berkenaan yang menjadi motto dalam majlis sambutan Gawai Dayak peringkat kebangsaan yang dihadirinya di sini.

“Maknanya mana-mana saya pergi, bila berbicara soal kesatuan, perpaduan dan bekerjasama, perkuatkan, maka saya akan sebut Segulai Sejalai,” kata Anwar ketika berucap di majlis itu.

Sementara itu, Bernama melaporkan pemilihan ‘Segulai Sejalai’ merupakan satu pengiktirafan terhadap bahasa Iban.

Profesor Sains Politik Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Datuk Dr Jayum Jawan berkata frasa yang membawa maksud ‘bersama melangkah ke hadapan’ itu amat bersesuaian dalam membawa agenda perpaduan negara.

Beliau berkata pemilihan frasa itu juga menunjukkan keterbukaan Anwar untuk mengangkat bahasa yang mewakili kaum atau etnik minoriti lain menjadi slogan sesuatu program atau agenda di peringkat Persekutuan.

“Pemilihan frasa ‘Segulai Sejalai’ dapat menunjukkan kepelbagaian budaya serta bahasa yang mencerminkan identiti sebenar Malaysia.

“Saya yakin Perdana Menteri memetik frasa itu dalam konteks mengajak semua bersama maju ke hadapan demi memadanikan Malaysia yang pelbagai etnik selaras dengan prinsip Malaysia Madani,” katanya ketika dihubungi Bernama. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan