KUCHING, 9 Jun: Jualan tiket bagi Rainforest World Music Festival (RWMF) 2023 memberangsangkan, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Beliau berkata tiket awal festival itu, yang akan berlangsung dari 23 hingga 25 Julai ini di Kampung Budaya Sarawak (SCV) di sini, telah habis dijual.
“Ia menunjukkan sambutan baik yang kami terima. 60 peratus tiket awal telah dibeli oleh warga tempatan dan 40 peratus daripada antarabangsa.
“RWMF telah mencipta namanya tersendiri, ramai pengunjung ialah mereka yang telah datang untuk beberapa tahun lepas,” katanya pada sidang media selepas majlis penghargaan penaja RWMF 2023 di sini, hari ini.
Bertemakan ‘Reflections’ RWMF 2023 akan menampilkan lebih 20 kumpulan muzik daripada 12 negara.
Pengunjung festival bakal disajikan persembahan oleh pemenang Anugerah Grammy Gipsy Kings dan artis Malaysia termasuk Zee Avi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak, Sharzede Datu Salleh Askor berkata, lebih 20 bas ulang alik percuma disediakan untuk pengunjung ke festival berkenaan.
Perkhidmatan tersebut bagi mengurangkan kesesakan di kawasan penganjuran acara terbabit selain sejajar dengan usaha kerajaan melestarikan alam sekitar.
Katanya, dua lokasi ditetapkan untuk pengunjung menaiki bas terbabit iaitu di pusat membeli belah The Hill dan Plaza Merdeka.
Bas akan menghantar pengunjung terus ke pintu masuk SCV.
Bas beroperasi bermula 9 pagi dengan 12 kekerapan perjalanan dengan bas terakhir pada 1 pagi bagi penghantaran pulang ke pusat bandar raya.
“Kami ingin menggalakkan orang ramai menggunakan bas. Sesiapa yang hendak pergi boleh tunjukkan tiket RMWF 2023,” katanya. – TVS