Rainforest World Music Festival (RWMF) 2023 akan menampikan Afriquoi yang mempersembahkan muzik tarian Afrika bersama alunan petikan gitar congo serta kora gambian dan bunyian instrumen elektronik.
Menurut laman web rwmf.net, Afriquoi merupakan kumpulan muzik afro yang menghimpunkan muzik, budaya dan pengalaman hidup setiap ahli kumpulan tersebut.
Kumpulan yang berpangkalan di United Kingdom itu ditubuhkan pada 2011.
Muzik hasil ciptaan Afriquoi adalah gabungan antara muzik tradisional serta muzik moden dan secara langsung sekali gus mencipta bunyi yang bertenaga dan memukau.
Hasil gabungan muzik itu menarik peminat kedua-dua genre muzik tersebut di seluruh dunia.
Pada penganjuran RWMF tahun ini, sebanyak 199 pemuzik dari 12 negara termasuk pemenang Anugerah Grammy, Gipsy Kings dari Perancis, kumpulan Jamaica-Amerika Big Mountain dan Teater Safi dari Tanzania bakal memeriahkan pentas.
Antara artis tempatan yang turut mengisi pentas RWMF bermula 23 hingga 25 Jun ini ialah Zee Avi, Suk Binie, APU, Nadir, Steve Thornton Band, Sada Borneo, Tuku Kame, Nading Rhapsody, Geng Wak Long, Buloh Berkocak, At Adau, Meruked dan Orang Orang Drum.
Manakala barisan pemuzik serta artis luar negara lain yang turut dijemput adalah ‘Rastak’ (Iran), ‘Fasylive’ (Maldives), ‘Chatusram’ (India), ‘Rizal Hadi & Folk’(Indonesia), ‘Thai Fusions Sound Band’ (Thailand) dan banyak lagi dari Jepun, Hong Kong dan Singapura.
Dapatkan tiket RWMF tahun ini di aplikasi Klook, yang merupakan ejen tiket rasmi RWMF 2023.
Sementara maklumat lanjut mengenai barisan pemuzik dan informasi tiket boleh didapati di laman web rasmi RWMF di http://rwmf.net. – TVS